CENGKAMAN BRITISH DI MALAYA SELEPAS PDII

Selasa, 2009 Julai 14

CENGKAMAN BRITISH DI MALAYA SELEPAS PDII

_______________________________

sumbangan artikel dari Saudara Panji Darman
_______________________________

Dasar Penjajahan British selepas PDII sebenarnya telah dirangka demi memperkukuhkan nilai sterling England yang telah diterima menjadi perantaraan tukaran luar perdagagan antarabangsa ketika itu. Nilai Sterling juga sebenarnya menjadi kayu ukur kuasa beli dan kekayaan kelas bourgeosie-aristokrat yang berpusat di London. Kekayaan negeri ini semakin hari semakin kukuh kerana ekonominya disokong dengan sumber kekayaan dari tanah jajahan dan telah menjadikan kaum bourgeoisie ini merayakan kehidupan mereka seperti di dalam sebuah syurga di kota London sekitar tahun 1945-1955.

Gaya hidup mewah ini juga telah memukau dan mempengaruhi kelas bourgeoisie – aristocrat di Malaya. Budaya dan amalan hidup golongan ini semakin menjadi sebati di antara mereka dan ini memudahkan kerjasama antaranya dalam banyak perkara termasuk mengatur soal pentadbiran yang menyangkut kepentingan British.

Pada tahun 1940 Pound Sterling telah mendapat status sebagai alat tukaran luar imbangan pembayaran eksport – import hinggalah pada tahun 1958 ia telah diguna di seluruh negeri-negeri di bawah empayar British. Ini telah memudahkan lagi
pergantungan dan penindasan seterusnya ke atas tanah jajahan. Pada ketika itu Pound sterling menjadi alat tukaran luar bagi dagangan antarabangsa sama ada antara negeri-negeri empayar British atau yang melibatkan urusan eksport dan import dari Great Britain sendiri.

Keadaan ekonomi yang semakin terbuka selepas PDII memudahkan sistem pengeluaran dan dagangan yang bersandarkan mode liberal kapitalis meresap masuk dalam budaya negara jajahan. Sekaligus, keadaan ini juga telah memudahkan British memunggah keluar hasil bumi Malaya dengan lancar.

Dengan kuasa yang ada, pertukaran barangan antara kuasa imperialis dengan negari jajahan berlaku di bawah struktur yang tidak seimbang dengan nisbah dagangan (term of trade) yang memihak kepada British dan ini menjadikan Malaya dan Singapura sentiasa mengalami defisit dalam imbangan perdagangannya. Barangan British yang masuk ke Malaya perlu dibayar dengan jumlah tukaran yang lebih besar. Kepada kaum buruh upah yang sangat rendah, di bawah sara hidup dan kerjapaksa dikuatkuasa demi lebihan dan dorongan untung ekonomi pengeluaran kapitalis. Tiada siapapun yang dapat membetulkan keadaan ini kerana kuasa imperialist menguasai sepenuhnya sistem politik dan pentadbiran negari jajahannya. London pada ketika itu menjadi pusat kepada pentadbiran tanah-tanah jajahan dalam semua urusan termasuk soal ketenteraan dan mobiliti sumber-sumber ekonominya.

Pada tahun 1944 Perdana Menteri British, Churchill telah mengarahkan Anthony Eden supaya British meneruskan cengkamannya di Malaya dan Singapura demi menjamin nilai sterling sedia ada agar sentiasa berada di tahap yang tinggi. British merancang untuk tidak melakukan pengunduran yang dianggapnya sebagai “premature withdrawal” melainkan sesudah misinya tercapai, malah mereka tidak bersedia untuk mencairkan harta kekayaan yang mereka kumpul di Malaya dalam bentuk tunai dan kembali ke England. Justeru mereka telah mempertahankan segala dasar penguasaannya di Malaya kerana keadaan di sini adalah lemah dan boleh dikawal semula. Oleh sebab itulah selepas kekalahan Jepun pada tahun 1945 Inggeris kembali bertapak di Malaya.

British tidak terkilan memerdekakan India pada tahun 1947. Pada mereka Malaya adalah kalong permata yang tergantung di leher benua Asia yang boleh menyinarkan cahayanya di seluruh England. Buminya begitu kaya dengan sumber ekonomi khususnya getah dan timah yang menjadi keperluan industri utama di England dan Eropah. Permintaan tinggi terhadap timah dan getah telah menjadikan British memperolehi tukaran luar yang besar dan mampu menyokong sterling British agar sentiasa berada di paras kemuncak. Kedudukan sterling sentiasa berada di paras cukup tinggi berbanding dengan tukaran lain termasuk Dollar Amerika.



Kemasukan semula British ke Malaya pada 1945 bukanlah untuk menangkap rama-rama yang cantik yang muncul berterbangan dengan tiba-tiba selepas sahaja Jepun tewas. Rakyat Malaya pada ketika itu tercengang dengan kehadiran rama-rama yang cantik ini dan begitu banyak berterbangan di setiap pelusuk tanah air. Kedatangan semula kuasa imperialis ini demi memperteguhkan taraf hidup Anglo-Saxon di London dengan mengembleng segala sumber kekayaan yang ada di tanah jajahan, khususnya Malaya dan Singapura demi memperteguhkan nilai sterlingnya.

Pada Julai 1948 selepas darurat diiyshtiharkan. setiausaha kepada negeri-negeri kolonial British, Creech Jones dalam satu memorandum kepada Menteri Kabinet British; menyebut "bahawa untuk tahun 1947 jumlah keseluruhan nilai eksport Singapura dan Malaya adalah berjumlah 15 juta pound sterling berbanding dengan lain-lain jajahan seluruhnya yang bejumlah 56 juta pound sterling. Malaya dan Singapura telah menyumbangkan lebih kurang 27 peratus perolehan hasil kepada London".

Tukaran USD dagangan luarnya pula berjumlah lebih 56 juta dalam sebutan pound sterling pada tahun 1947. Malaya dengan sumber kekayaannya juga menjadi sumber tukaran dollar – Sterling yang besar kepada British.

Melihat bagaimana British telah mengurus kekayaan Malaya dengan begitu cekap sekali khususnya dalam mengedalikan urusan perdagangan luar, Dato’ Onn yang ketika itu menjadi Pegawai Daerah di Johor mengakui pada 27 Januari 1947 dalam ucapannya di satu perjumpaan UMNO di Alor Setar menyedari tentang kekurangan dan kelemahan orang Melayu; Ucapan ini telah dibentangkan di London oleh Sir Gent; wakil British di Malaya seperti berikut;

"In his opening address, Dato Onn stressed that the Malay people are not ready for independence. He ridiculed those Malays who demand immediate independence, pointing out that there is not Malay fitted to be a Minister, or a representative to the United Nations or an ambassador" (Barbara Andaya Visiting Professor in History The Raffle Lecture page 177).


Dicatat oleh M.A. di Selasa, Julai 14, 2009

Label: penjajah British, sumbangan artikel


1 ulasan:


Tanpa Nama berkata...

Penjajah matsaleh datang ke Malaya hanya untuk menjarah sumber ekonomi kita yang kaya raya. Dengan menggunakan ugutan dan pujukan, si matsaleh telah menundukkan raja-raja melayu satu persatu sehingga akhirnya kekuasaan mat saleh dihalalkan di negeri kita bahkan dianggap sebagai pelindung bangsa melayu.

Di sebalik itu semua, tiada orang mencatatkan berapa banyak kekayaan negeri ini telah dipunggah balik ke England.

Yang sangat dikesalkan ialah sehingga hari ini masih ada orang melayu yang tak sedar, masih menganggap matsaleh sebagai pahlawan pembela mereka. Sehingga ada yang mendirikan papan tanda untuk memperingati si algojo Henry Gurney yang tangannya berlumuran darah rakyat Palestin dan rakyat negara kita.

Dol

2009 Julai 15 16:51



Ulasan

  1. Tanpa Nama10:38 PTG

    Pejuang dulu menuntut kemerdekaan dan sanggup mati kerana menentang penjajahan British. Namun mereka di gelar musuh negara kerana sanggup berperang dengan British. Mereka menolak penjajahan British dengan darah.

    Berbanding dengan tokoh kemerdekaan negara, mereka suma ini adalah Pegawai yang bekerja dengan Penjajahna British. Mereka menerima pesaka kemerdekaan di atas dulang yang bertatahkan emas palsu untuk merdeka dan meneruskan kesinambungan British di Tanah Melayu.

    BalasPadam

Catat Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Muzium Sejarah

Barisan Gerila Malaya

Ibu Zaleha - Ketua AWAS Lubuk Kawah